MUAR:
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menitahkan
pertukaran cuti minggu negeri Johor kepada hari Jumaat dan Sabtu
berkuatkuasa pada 1 Januari 2014.
Titahnya pertukaran cuti tersebut bagi menghormati hari Jumaat sebagai penghulu segala hari.
Keputusan itu dibuat selaras dengan negeri Johor yang paling awal mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi.
Titah baginda keputusan muktamad itu dibuat selepas membuat penilaian terhadap beberapa pandangan.
Titahnya,
ia bagi memudahkan kaum lelaki yang beragama Islam menunaikan solat
Jumaat dalam keadaan sempurna dan tidak tergesa-gesa.
“Jika
kita perhatikan pada masa ini orang lelaki terkejar-kejar ke masjid
untuk solat Jumaat pada waktu rehat yang singkat. Pada waktu khutbah
Jumaat pula sering dijadikan waktu untuk berehat dan tidur. Dan selepas
selesai solat mereka bergegas meninggalkan masjid sehingga tidak sempat
untuk menunggu imam membaca doa dan mengaminkannya. Kita semua sedia
maklum bahawa di Malaysia ini masih ada beberapa buah negeri yang
mengamalkan cuti hari Jumaat. Yang diamalkan cuti hari Jumaat negeri
Johor juga telah mengamalkannya sebelum ini. Oleh yang demikian setelah
dinilai banyak pandangan saya telah membuat keputusan muktamad supaya
hari cuti mingguan ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu.”
Baginda bertitah demikian pada majlis sambutan Hari Keputeraanya kali ke -55 di Dewan Jubli Intan Muar, Johor.
Jelas
baginda hari Jumaat adalah hari yang penuh dengan keberkatan dan umat
Islam wajar memperbanyakkan amalan yang dituntut kerana ganjarannya yang
besar dan berlipat kali ganda.
Negeri Johor pernah menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu sebelum tahun 1994.
Malah
negeri lain seperti Kedah, Kelantan dan Terenganu turut mengamalkan
cuti Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu di negeri tersebut.
Sementara
itu, baginda menyarankan agar Majlis Agama Islam negeri Johor (MAIJ)
mewujudkan talian secara online bagi menyalurkan maklumat berkaitan
agama kepada seluruh umat islam.
Ianya bagi memberikan maklumat yang betul kepada umat Islam melalui satu sumber yang boleh dipercayai.